Jun 15, 2011

Sesat dalam perjalanan solo yang bergalas beg falsafah.

"Orang-orang yang baik telah banyak mati mendahului kita. Yang tinggal hanyalah orang-orang yang berdosa atau orang yang mendabik dada menyebut kemuliaan nenek moyangnya. ~Ibnul Wardi


Via dua kornea bertopeng hazel, kau tekun merenung Dali di sukuan ketiga dinding. Dali yang tampan, bertikam empat paku payung di lapis-lapis dinding kayu. Selari dengan eksplorasi lepas, kau terkandas lagi dalam mengolah jiwa Dali. Kau mungkin dungu surrealisma. Atau mungkin anti surrealis.

Sebenarnya rahsia yang kau sorokkan dari semua penghuni rumah kayu itu adalah kau tak suka lukisan-lukisan Salvador Dali. Ia buat nafas kau resah dan kau sendiri tidak tahu kenapa. Dali muncul dalam hidup tanpa diminta dan mencipta satu sejarah yang panjang dalam hidup mu.

Setelah 17 tahun, kau masih tidak gemar Dali, kerana kau suka yang pop!

Pop itu hebat kau kata. Bila ia meletup dunia menjadi terang, riang dan masa tidak berjalan tetapi akan berlari-lari mengejar jarum jam. Awan akan menyalin jubah baru berwarna hijau terang dan sedikit kekuningan. Kemudian dari bawah kerusi stadium bola yang telah lama ditinggalkan, Basquiat dan Warhol akan dilahirkan semula sebagai teruna kacak di awal 30an. Mereka akan merayau-rayau pada petang hari sehingga bertemu berus lukisan dan himpunan warna-warna ajaib.

Kau sudah pasti tahu apa yang berlaku seterusnya. Semua budak-budak lelaki yang gemar membuang masa berdiri dan mencangkung di bawah flat murah akan merasai percikan warna-warna ajaib itu. Cuma kau selalunya bimbang (setelah rasa gembira melihat Basquiat dan Warhol lahir semula untuk kali ke.. ke.. ke berapa ye... ke dua belas bukan?). Budak-budak yang sudah menanggung dosa mereka sendiri, seperti dirasuki nyawa ke dua belas Basquiat dan Warhol, akan melompat masuk ke tasik kecil peninggalan sejarah lama, yang dikorek untuk hasil bijih timah. Beruntunglah jika pandai berenang, kerana mereka akan tiba ke tebing dan melompat naik dengan gembira. Yang lain akan kaku dan kembong ditenggelami air tasik kecik yang busuk dengan sampah sarap serta kiambang liar. Kau dah berdoa agar burung-burung bangau tidak mencelup kepala mereka ke dalam tasik dan mematuk-matuk bangkai mereka? Pergilah berdoa sekarang.

Jadi, apa yang sebenarnya akan berlaku apabila pop meletup dan muncul secara tiba-tiba bukanlah satu keindahan yang abadi kerana ia melibatkan kematian nyawa budak-budak tak berguna tu. Betul tak? Arrrghhh muka kau dah berubah. Kau takut?? Takut apa?








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...