May 9, 2011

Ponteng



"Benar.
Aku menjual bibir dan menyimpul lidah untuk Fiona Apple dan Erykah Badu. Aku juga menyembelih telinga untuk Van Gogh, menari bogel atas kerusi roda untuk Mattisse."

Hari itu aku ponteng kelas Puan Mariam. Bahu aku letih. Buku-buku berteori suprim terasa berat macam dosa-dosa masa lampau. Jadi, aku memutuskan untuk berehat di pondok bas, yang atapnya hanyalah palang-palang besi karat.

Rabu depan, tepat tiga tahun tiga bulan aku jadi perempuan boneka M*. Aku fikir aku kenal M*, seperti aku kenal minyak-minyak wangi di Body Shop. Muzik dan lukisannya aku hadam setiap kali bangun tidur. Seperti rutin asap-asap rokok yang mesti aku hadam untuk nyawa pagi.

Kasut baldu biru yang aku pakai basah diresapi air yang aku sendiri tak pasti wujud atau tidak. Cahaya dari langit membara panas, jadi aku buka jaket dan masukkannya ke dalam beg.

Bas 443-A, 112-S, 22 berhenti dan kemudian pergi. Aku sambung berjalan. Badan aku letih, kaki aku berhenti di pondok bas kedua.

"Kamu ini seperti layang-layang, suka terbang tinggi bila angin bertiup, yang aku pegang ketika seronok dan dilepaskan ketika hilang seronok."

Aku tidak pernah faham kata-kata yang disembur keluar dari mulutnya. Mungkin aku ini bodoh. Mungkin aku tak pernah kenal M*. Mungkin aku selalu ponteng dalam hidupnya!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...