May 25, 2011

Bukankah kita semua telah berjanji bahwa racun radiasi dari cangkir berkafein Starbuck tidak akan membaptis jiwa kita.

Dialog Biasa Tanpa Bisa
‘Jangan berikan aku soalan-soalan sukar.’
‘Adilkah jika kau asyik memohon dari Tuhan mu untuk hidup mudah?’
‘Tidaklah aku berniat memboikot kesenangan hidup ku ini, wahai kawan.’
‘Tentu kau tidak mahu mati terbeban rasa kebosanan disebabkan kemuflisan percaturan hidup. Bukan begitu?’
‘Adakah aku telah ditakdirkan untuk bersemuka dengan soalan sukar mu itu pada hari ini? Tidakkah ini sebahagian percaturan hidup yang sukar, wahai kawan.’


Barisan Nadi Terakhir
Barisan akhir dalam sesi dialog itu statik bersama roh mata ku. Seperti disihir oleh soalannya, penglihatan ku mula dikaburi titik-titik nadi berwarna hijau yang bersenyawa untuk melahirkan satu garis mendatar pada mesin nyawa. Di belakang kabut mesin nyawa itu ada satu lapis kisah benar di mana aku bertanya dia tentang pembaptisan anak lelaki sulungnya, nama anaknya yang mirip nama Melayu, dan puasa Good Friday.

Bukankah hidup ini sentiasa diimbasi wayang lama?


Pusaran Cangkir Kopi
Aku pandang ke bawah dengan fikiran yang sungguh dalam, seolah jasad ini sedang terumbang-ambing di atas papan luncur di atas ombak yang ganas. Ohhh tidak, bukan ombak tetapi pusaran air.

Di bawah, di dalam air kopi yang sedang dipusarkan oleh sudu besi tahan karat dan ternampak diri ku sendiri versi super-kerdil di dalamnya yang sesak mencari oksigen untuk bernafas. Ia bukan karakter anime, atau dewa pujangga aku dari filem Inception. Ia hanyalah sekadar bayang-bayang berwarna coklat.

Sekarang ini, matahari lambat bangun dan pada Ahad pagi yang sejuk, aku sedang mencekik bayang-bayang berwarna coklat di dalam cangkir sambil ditemani alunan okestra dari Hans Zimmer .

Realiti sebenar yang kita semua arifi, manusia cuba mengelak dari menerima beban kehidupan yang dipersembahkan oleh realiti. Kadangkala ia, iaitu realiti, akan menggigit kita dan tidak mahu melepaskan gigitannya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...