Mar 27, 2011

2 Pintu Ajaib

Antara persoalan yang sering M** tanya adalah, “Bagaimana nak masukkan diri ke dalam kepompong kreatif?”

Kepompong kreatif? Aku tak pernah nampak sayap di belakang bahunya, dan ketika itu aku sedar bahawa sahabat aku ini mempunyai impian semasa kanak-kanak yang belum dilepaskan. Peter Pan???

Ini adalah satu momen jadi-jadian. Artifisial. Di kelilingi kuasa kreatif, yang datang sebagai petir dari langit Tuhan, yang akan bagi aku satu kuasa magis, bagai elektrikal mengalir di dalam roh badan aku, lalu aku akan lebih peka, sensetif dengan deria-deria natural milik ku sendiri.

Ohhhh bunyinya macam filem CGI...

Kau tahu...

Perlukah aku tahu semuanya?

Bila ini berlaku, kau akan menyaksikan atom-atom kreatif berebut-rebut mencari jalan keluar, ia melimpah ruah dari setiap sudut. Ia mengalir keluar dari mata aku ibarat air mata bila menonton English Patient, bagai nanar panas yang mengeledak keluar dari telinga, otak beku akan bertukar menjadi lembut seperti span basuh pinggan emak di sinki dapur...lalu, lalu... lalu jari-jemari aku dengan bantuan liang-liang roma bekerja keras menzahirkan warna-warna baru dan lama, warna yang aku kenal seperti warna buah lemon, bunga teratai dan... warna-warna baru yang aku sendiri belum pernah jumpa... Akhirnya ia menjadi nyata!

Kau sedang bercerita mengenai proses kelahiran atas kanvas!

Iya. Kau rasa berapa banyak aku boleh lahirkan sehari?

Kau bukan Picasso, bukan Van Gogh, bukan Haslin Ismail. So, momen sebegini mungkin berlaku jika kau bernasib baik. Arrrrr mungkin 2-3 kali sebulan? Dan kalau kau dalam kategori pelukis yang disumpahi badi tumpul-idea, mungkin 7 kali setahun. Kau setuju dengan apa yang aku katakan ni?

Aku harap rutin harian aku akan dilanda kuasa elektrik dari langit ini. Supaya aku boleh mengendahkan matahari yang tersenyum di pagi hari, yang mulai garing menandakan hari telah mencecah sempadan baru. Dan aku juga mahu mematikan perkara-perkara yang bergerak di sekeliling aku seperti jarum jam dinding, bilah kipas, aku mahu volum dunia menjadi perlahan, aku perlukan bilik kedap udara yang mampu menangkis bunyi bising pintu yang terkuak, cerek air yang menjerit kerana melecur di atas dapur, bunyi karaoke kenduri kahwin atau kucing dan anjing berteriak sambil baling kerusi meja, aaaaarrrr dan aku boleh lenyapkan rasa simpati bila melihat milo ais merajuk kerana sudah kehilangan ketulan ais beku… Dan, dan, dan.... dan aku tahu kucing manja yang mahu dibelai bulu tebalnya hanyalah satu watak ilusi yang dihantar Stan Lee untuk melawat aku. Semua akan hilang nyawa buat sementara waktu. Nah!

Cobalah... cobalah wahai sahabat.... Aku harap sekembalinya kau ke alam nyata, kau masih ingatkan aku. Kau kan tahu, rumah aku tak pernah tukar poskod.

Mihaly Csikszentmihalyi kata gelombang kreatif merasuki manusia melalui 2 pintu...

Pintu sorga dan neraka?

Bukan sayang.... ada 2 pintu ajaib ke kepompong... dan aku sekarang adalah pemilik kedua-dua kunci halimunan tersebut.







2 comments:

  1. Hmmm org seni sensitif! cliche.

    ReplyDelete
  2. Baik yang L atau P- sensitif, emosional, memberontak dan juga aarrr should I say, romantik??? Eeemmmm...

    Dan, Paul Arden kata, "All creative people need something to rebel against,it's what gives their lives excitement."

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...