Apr 18, 2010

Seludup Manusia

Nota: Sabtu. Old Town-Taman Permata. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya bersetuju untuk keluar dari zon pengasingan dan berkumpul semula dengan sahabat rapat dari Geng Seludup. Eeeerrr, antara hobi kami dahulu adalah menyeludup masuk/keluar asrama dan beberapa lokasi terlarang dan sesekali panjat bumbung untuk menikmati stok oksigen yang segar.

Saya beritahu mereka tentang sahabat kami Nina, yang dikatakan kurang siuman, adalah mentor dan 'tingkap saya' kepada dunia penulisan dan bagaimana beliau mengajar saya cara berdelusi di alam ketidakwarasan sambil mentertawakan mereka yang waras tetapi takut dengan ketidakwarasan yang dibuat-buat/direkanya. Bagaimanapun, apa yang sahabat Geng Seludup tidak tahu, saya telah menulis tentang pertemuan ini seawal 2005/2006.

Konflik penulisan: Ini adalah antara tiga cerita fiksyen awal saya. Penjodoh bilangan "sebatang senjata" adalah salah, ianya disengajakan, lalu jangan tanya kenapa, kerana saya sendiri tiada jawapannya, dan saya mahu ia kekal salah.

------------------------------
Tukul B.E.S.I. Diva

Dari mana perasaan [diva] itu datang???Sehari suntuk mengetuk tempurung kepala untuk berfikir. Di penghujung malam, di saat harapan menjadi semakin tumpul, dia mencari sebatang senjata. Sekadar inisiatif mudah untuk mengurangkan ketegangan perasaan cemas. Tangan Minn mencapai sebeban tukul besi dari laci lusuh beranai. Kali ini dia mempertaruhkan tukul besi, untuk berjasa sebagai pelakon utama. Atau… Mungkin ada baiknya jika pada pagi buta sebegini, Minn memilih sebatang pisau dari bilik O.T.? Matanya melilau mencari kayu jam pada tangan kiri.

Pukul 3.45 a.m. Semakin hari beransur pagi, semakin lambat detik masa beransur pergi. Tiba-tiba, idea-idea berlanar keluar seperti lambakan lava gunung berapi. Minn kini di julung puncak. Dan Minn semakin rancak. Merencana plot dan set drama. Memilih barisan pak pacak. Semuanya ini akan dihidangkan sebagai santapan pagi bersama rakan-rakannya. Faye, Alkmar, Zizi, dan Khadija. Mereka berlima sepastinya, akan memulakan tazkirah pagi Isnin dengan edisi mutakhir hujung minggu. Mereka berempat perlu kagum dengan cerita Minn pada pagi Isnin ini. Dan Minn, seharusnya wajib mengabstrakkan setiap luahan ceritanya diikuti tonasi dan emosi sehebat diva Azean Irda.

Tujuh minit sebelum azan subuh, Minn mula menghayun tukul besi, dari ketinggian di paras cuping telinga kanan, tepat ke arah dua jari terakhir tangan kirinya. Sekuat-kuat yang termampu. Blloouupppp! Mungkin begitu bunyinya. Tetapi, sebenarnya, otak Minn sendiri tidak mampu merakam bunyi sebenar dari dentuman tukul besi dari laci beranai itu. Tiada sebarang percikan darah dari dua jari itu. Namun, ada tempias air liur dan darah terpancut keluar dari tepi bibir kiri. Dan ketika itu jua, kesemua jari-jari kaki Minn melompat-lompat dihujung kuku untuk beberapa waktu. Tepat ketika nafas kesakitan dari dua jari terakhirnya di ketap di pelepah bibir, Minn melepaskan senyuman puas hati di ruang udara bilik.

Isnin pagi, esok pagi, di kafe Detoxica, Minn akan menjuarai diva.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...