Apr 2, 2010

Hidup bukan sekadar potong-dan-tampal lirik lagu M. Nasir. ~Taf Teh

[Nota:] Kek Metro Versi I & II adalah tulisan lama saya (mungkin 2007/8). Cerita ini ditulis dengan gangguan emosi, gangguan bahasa yang terlalu mengada-ngada, dan terlalu mencuba. Kesannya, saya sendiri tidak suka bagaimana plot dikembangkan dan bagaimana cerita ditamatkan. Secara ringkas, ia gagal menjadi 'queer', pemilihan ayat masih klise, tiada klimaks yang mampu meletupkan pekan koboi & iya.... agak memualkan!!! Di manakah silapnya???

------------------------------------------------
Kek Metro (Versi I)
Atan tinggalkan kau di dalam bilik tidur apartmen, dengan tuala selsemanya di sebelah katil. Rongga hidung bersenaman bersin tanpa henti. Kau bangun. Berdiri di tepi katil, memeriksa koordinasi bilik, dan mencium rasa kagum citarasa lelaki metroseksual. Kemudian, berjalan keluar.

Kau ke seksyen memasak untuk mencarigali paracetamol atau ubat selsema di perabot-perabot dapur. Cangkir-cangkir kaca kering, berbaris bersih di atas rak pinggan. Dua helai plastik tersimpul dalam ikatan tiga segi origami, terbiar di atas kabinet konkrit.

Dalam peti ais, tidak wujud langsung sesuatu yang organik. Hanya ada sekotak kek, masih terikat kemas dengan reben plastik sintetik. Argggh! Kata-kata klise dalam novel cinta dan drama korea meletus-letus secara otomatik, berlegar-legar dalam orbit otak dan kau tutup semula pintu peti.

* * *
Jongkong tubuh tidak mampu berhibernasi. Sekejap berkontur duduk, terlentang, mengiring. Atas sofa, tatami buluh, kerusi meja makan, atas meja makan.

Apa yang patut disembangkan bila Atan balik? Dailog! Kau perlukan beberapa baris dailog yang bersira bujuk perawan grasilis. Seayu gadis desa di pangkin bawah pokok rambutan, yang bermentera menyeru roh angin bertiup dari leluhur nenek moyangnya, pada petang hari yang terik, kau mahu menyeru roh dailog, menyimbah segenap zarah ruang tamu apartmen itu.

Dan dua jam kau menunggu.

Ke mana Atan pergi, kau tak tahu. Sepatutnya, kalau bukan membeli sarapan pagi, ke mana lagi? Tak mungkin Atan keluar bekerja. Kerana hari ini, hari Isnin, hari jadi Sultan Selangor.

Sumpahan bosan semakin membuntu. Membekukan sekali aura ruang tamu apartmen, sehingga dapat dirasa partikel oksigen mengdefisit. Lalu, tangan kau menjalar ke bawah kabinet tv. Menyelak, satu demi satu, tiada langsung gambar perempuan. Nil. Takkanlah!

Kau perempuan setia. Menunggu tanpa jemu, walaupun perut telah merintih lapar. Sebelum angin perut menderhaka dan bertukar menjadi huriken, tak salah rasanya kalau kau cicip kek. Sedikit... Cuma sedikit.

Pintu peti ais dibuka, kemudian kau paut erat kotak kek dengan kedua-dua tangan. Tahap konsentrasi berada di paras maksima seperti seorang setiausaha jelita yang sedang mencuri maklumat sulit untuk syarikat saingannya. Kotak kek yang masih tersimpul rapi, kau letakkan di atas meja makan. Empat dinding kotak terburai di atas meja. Mata kau terus bekerja, mencantum aksara-aksara ising berwarna pink, di wajah kek coklat satu kilo itu, ‘Untuk Azman tersayang.’

Siapa Azman?

Dan kau teringatkan sesuatu.

Dalam album bawah kabinet tv, kau lihat gambar kek yang sama. Dengan tulisan ising pink. ‘Untuk Azman tersayang’. Dan tiada langsung gambar perempuan. Zero. Nada. Aaarrrrrgghhh. Takkanlah!

------------------------------------------------
Kek Metro (Versi II)
Dia tinggalkan aku di dalam bilik tidur apartmen ini, dengan tuala selsemanya di sebelah katil. Apabila bangun, hidung aku bersin tanpa henti. Aku keluar, tinggalkan komforter, untuk cari paracetamol atau ubat selsema.

Di dapur, cawan dan gelas kaca bersih kering berdiri bersebelahan, seperti sedang bercinta. Di dalam peti ais, hanya ada dua tin air mirinda stroberi dan sekotak kek. Argggh! Kata-kata klise dalam novel cinta, secara otomatik, meletus keluar, berlegar-legar dalam orbit otak, tersusun cantik, umpama dialog cinta drama Korea.

Lelaki romantis dan sekotak kek.
Kucupan pagi. Pelukan manja.
Kejutan!

Sekejap duduk, terlentang, mengiring, di sofa, atas lantai, di kerusi meja makan, atas katil. Apa yang patut aku sembang bila dia balik? Dialog, dialog, dialog! Aku seperti perempuan suci desa yang menyeru angin datang pada petang hari yang terik. Cuma, ketika ini, aku mahu menyeru dialog drama chinta.

Dua jam menunggu. Ke mana dia pergi, itu aku tak tahu. Sepatutnya. Kalau bukan beli sarapan pagi. Ke mana lagi? Tak mungkin dia keluar bekerja. Kerana hari ini, hari Isnin, hari jadi Sultan.

Bosan. Buntu. Tangan aku menjalar ke bawah kabinet tv. Selak, satu demi satu, tiada langsung gambar perempuan.

Takkanlah!

Aku masih tunggu, sehingga pukul sepuluh. Sepatutnya. Dia dah balik. Perut aku pedih lapar. Angin keroncong dalam perut memulas-mulas, minta diisi. Aku kira, tak salah jika aku makan kek di dalam peti ais tu. Sekadar secubit. Mungkin dua.

Aku buka peti ais, ambil kotak kek, letakkan di atas meja makan. Ada tulisan ising, ‘Untuk Azman tersayang.’

Tetapi. Bukankah. Bukankah.
Aku ini bukan Azman.
Aaaaaaarrgh. Takkanlah!

Koleksi-koleksi gambar dalam album menjelma depan muka ku. Satu demi satu. Aku nampak gambar kek yang sama. Dengan tulisan ising. ‘Untuk Azman tersayang’. Dan tiada langsung gambar perempuan di dalam album.

Takkanlah!

2 comments:

  1. oi, mengingatkan aku kepada blog lama, jamrihusen. hohoho. nak pergi tgklah. macam mana perasaannya eh? setelah beberapa tahun. :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...