Apr 27, 2010

Dialog Terakhir

Baca review Fadz mengenai filem Shutter Island di sini: -->


Saya terperangkap dengan dialog terakhir Leonardo "Is it better to live a MONSTER or die a HERO". Dialog ini memaksa saya mengulang tonton bab ketika Leonardo (Teddy Daniels aka Andrew Leaddis) menceroboh masuk rumah api yang digambarkan sebagai pusat lobotomi. Dialog terakhir ini juga diikuti dengan Dr Seehan yang memanggil Leaddis "Teddy" seolah akur dengan keputusan Leaddis untuk memilih lobotomi sebagai penamat kepada "pita rakaman gilanya" dan Dr Cawley yang memalingkan tubuhnya tanda kegagalannya untuk menyelamatkan Leaddis.

Filem ini baik kerana ia tidak 'terlalu-mahu-creepy' dan memenuhi selera saya yang suka "hadam dialog" dan suka menonton sambil mencari jawapan seperti siapa Teddy atau Leaddis, siapa baik atau jahat, dan apakah maksud tersembunyi pada simbol rumah api di hujung filem. Ini bukanlah hasil terbaik Scorsese dan Leonardo, tetapi cukup baik untuk mengisi ruang lapar "Asylum Factory" saya. Seperti filem English Patient, Shutter Island adalah filem yang akan saya ulang tonton pada masa hadapan.

Komen saya:
Fadz, ini filem surrealis Scorsese yang perlu ditonton sekurang-kurangnya 2 kali atas sebab UTAMA: untuk memahami dialog terakhir "Is it better to live a monster or die a hero?" Ia akan menentukan simpati penonton kepada Leonardo yang tertekan secara mental kerana menembak mati isterinya yang gila ATAU keputusannya untuk memilih lobotami untuk menghentikan 'rakaman pita gilanya', semasa dia 'berpura-pura' gila.

Untuk peminat surrealis, kami akan menonton beberapa kali untuk menikmati babak seperti laut yang 'nampak tidak real', kertas-kertas yang berterbangan berlebih-lebihan dsb.




Apr 22, 2010

Va(o)cation

"Tuhan Bukankanlah Daerah Terlarang Bagi Pemikiran." ~ Catatan Ahmad Wahib. *Entri Mukhsen-x tentang Ahmad Wahib di sini --->*
Bising sungguh mulut saya semenjak beberapa tahun kebelakangan ini tentang percutian tambang murah Air Asia. Bali, Thailand, Hong Kong? Australia? UK? Apa yang datang kemudiannya adalah ajakan/pelawaan "Jomlaaaaa pergi XX, YY, FU, CK bla bla bla. Yeee, paling menarik ada yang nak belikan tiket pergi-balik ke London. Ohhh mulut bising saya telah meraih simpati orang rupanya (ya, hina sungguh cara saya menghargai tiket/benda percuma nan ikhlas).

Percutian terakhir saya ke Drexel/DC/NYC, iaitu berbelas tahun yang lepas, sungguh 'menghiburkan' tetapi tiada pengalaman penting yang boleh dibanggakan (aarrghhh nothing memorable). Ia sekadar satu episod dalam hidup seorang manusia, untuk menghabiskan wang dan masa, ibarat satu pelaburan tanpa untung.

Mungkin, apa yang saya perlukan, apa yang saya bisingkan, bukanlah tentang kehendak untuk bercuti. Sebenarnya, saya sendiri belum bersedia untuk sebarang percutian kerana sedang bertungkus-lumus membina maksud & matlamat percutian mengikut kamus suka-hati-saya-sendiri.

Ok, begini...

Vacation is an entrance point that will show me the new dimension of life. Perhaps, what I mean with vacation is vacation + vocation = opportunity to explore life like Benedict Allen the Explorer.

Apabila saya selesai dengan falsafah va(O)cation, saya berjanji akan menempah tiket tambang murah. Mungkin ke kampung tua di China, sebulan dua, pada musim luruh, untuk menikmati teh organik panas dalam cawan kecil dan menyelamatkan diri dari kesejukan malam di bawah selimut koyak yang dijahit tangan oleh puan rumah.

Apr 18, 2010

Seludup Manusia

Nota: Sabtu. Old Town-Taman Permata. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya bersetuju untuk keluar dari zon pengasingan dan berkumpul semula dengan sahabat rapat dari Geng Seludup. Eeeerrr, antara hobi kami dahulu adalah menyeludup masuk/keluar asrama dan beberapa lokasi terlarang dan sesekali panjat bumbung untuk menikmati stok oksigen yang segar.

Saya beritahu mereka tentang sahabat kami Nina, yang dikatakan kurang siuman, adalah mentor dan 'tingkap saya' kepada dunia penulisan dan bagaimana beliau mengajar saya cara berdelusi di alam ketidakwarasan sambil mentertawakan mereka yang waras tetapi takut dengan ketidakwarasan yang dibuat-buat/direkanya. Bagaimanapun, apa yang sahabat Geng Seludup tidak tahu, saya telah menulis tentang pertemuan ini seawal 2005/2006.

Konflik penulisan: Ini adalah antara tiga cerita fiksyen awal saya. Penjodoh bilangan "sebatang senjata" adalah salah, ianya disengajakan, lalu jangan tanya kenapa, kerana saya sendiri tiada jawapannya, dan saya mahu ia kekal salah.

------------------------------
Tukul B.E.S.I. Diva

Dari mana perasaan [diva] itu datang???Sehari suntuk mengetuk tempurung kepala untuk berfikir. Di penghujung malam, di saat harapan menjadi semakin tumpul, dia mencari sebatang senjata. Sekadar inisiatif mudah untuk mengurangkan ketegangan perasaan cemas. Tangan Minn mencapai sebeban tukul besi dari laci lusuh beranai. Kali ini dia mempertaruhkan tukul besi, untuk berjasa sebagai pelakon utama. Atau… Mungkin ada baiknya jika pada pagi buta sebegini, Minn memilih sebatang pisau dari bilik O.T.? Matanya melilau mencari kayu jam pada tangan kiri.

Pukul 3.45 a.m. Semakin hari beransur pagi, semakin lambat detik masa beransur pergi. Tiba-tiba, idea-idea berlanar keluar seperti lambakan lava gunung berapi. Minn kini di julung puncak. Dan Minn semakin rancak. Merencana plot dan set drama. Memilih barisan pak pacak. Semuanya ini akan dihidangkan sebagai santapan pagi bersama rakan-rakannya. Faye, Alkmar, Zizi, dan Khadija. Mereka berlima sepastinya, akan memulakan tazkirah pagi Isnin dengan edisi mutakhir hujung minggu. Mereka berempat perlu kagum dengan cerita Minn pada pagi Isnin ini. Dan Minn, seharusnya wajib mengabstrakkan setiap luahan ceritanya diikuti tonasi dan emosi sehebat diva Azean Irda.

Tujuh minit sebelum azan subuh, Minn mula menghayun tukul besi, dari ketinggian di paras cuping telinga kanan, tepat ke arah dua jari terakhir tangan kirinya. Sekuat-kuat yang termampu. Blloouupppp! Mungkin begitu bunyinya. Tetapi, sebenarnya, otak Minn sendiri tidak mampu merakam bunyi sebenar dari dentuman tukul besi dari laci beranai itu. Tiada sebarang percikan darah dari dua jari itu. Namun, ada tempias air liur dan darah terpancut keluar dari tepi bibir kiri. Dan ketika itu jua, kesemua jari-jari kaki Minn melompat-lompat dihujung kuku untuk beberapa waktu. Tepat ketika nafas kesakitan dari dua jari terakhirnya di ketap di pelepah bibir, Minn melepaskan senyuman puas hati di ruang udara bilik.

Isnin pagi, esok pagi, di kafe Detoxica, Minn akan menjuarai diva.

Apr 15, 2010

Word.Word. Word. -- My Source of Energy!

Kita perlukan hentakan evolusi untuk mengubah
sesuatu yang sukar diubah, contohnya
bangunan konkrit dan perasaan cHINTa.



Vektor Usia

Benar.

Aku menjual bibir dan menyimpul lidah untuk Fiona Apple dan Erykah Badu.

Aku juga menyembelih telinga untuk Van Gogh, menari b_gel atas kerusi roda untuk Matisse.

Hari itu aku ponteng kelas Puan Mariam. Bahu aku letih. Buku-buku berteori suprim terasa berat macam dosa-dosa kami. Jadi, aku berehat di pondok bas, yang atapnya hanyalah palang-palang besi karat.

Rabu depan, tepat dua tahun tiga bulan aku jadi perempuan M--. Aku fikir aku kenal M--, seperti aku kenal minyak-minyak wangi di Body Shop. Muzik dan lukisannya aku hadam setiap kali bangun tidur. Seperti rutin asap-asap rokok yang mesti aku hadam untuk nyawa pagi.

Kasut baldu biru yang dikaki basah diresapi air yang aku sendiri tidak pasti ujud atau tidak. Cahaya dari langit membara panas, jadi aku buka jaket dan masukkannya ke dalam beg.

Bas 443-A, 112-S, 22 berhenti, kemudian pergi. Aku sambung berjalan. Badan aku letih, kaki aku berhenti di pondok bas.

'Tuhan itu seperti layang-layang. Yang dipegang ketika seronok, dan dilepaskan ketika hilang seronok.'

Mungkin. Mungkin aku tak pernah kenal M--! Mungkin aku selalu ponteng dalam hidupnya!

4. Emosi adalah energi!

25 Random Things About Me (25 Mentera Taf-Teh Superfisyel)
Share Wednesday, February 4, 2009 at 11:06am Edit Note Delete

Yang penting tentang nota ini:
1. Tag ini adalah '25 Random Things About Me.'
2. Taf-Teh di tag oleh Amyz.
3. Taf-Teh perlu tag orang lain.
4. Orang yang ditag perlu baca RULES di akhir nota ini.
5. Anda ditag kerana anda perempuan/lelaki HOT. Amacam?

Yang fiksyen!
1. Komplek-citi itu S.E.N.I.
2. Taf-Teh adalah nama fiksyen, palsu semata-mata. Pseudo!
3. Menulis cerita fiksyen pendek dengan ayat/metafora absurd (simbol gumpalan besi dalam diri sendiri).
4. Karakter fiksyen kegemaran Markus & Jimmy.
5. Markus adalah parasit dalam hidup Jimmy. Jimmy adalah reprensentasi diri Taf-Teh.

Yang Berputar Ligat Seperti Puting Beliung Dalam Gelas:
1. Tiap-tiap hari mao 'salin kulit' (read: transform/evolve).
2. Obses dengan Law of Attraction (LOA) sejak Dis '07.
3. Buku LOA (Michael Losier) hebat & simpel, dah juga mempunyai kuasa MAUT, ooppss kuasa ajaib (kepada mereka yang mampu menghayatinya).
4. Gemar menikmati momen 'A-ha!' dari sinergi Minda Ketiga (Third Mind).
5. Tertarik kepada individu yang mempunyai frekuensi alpha dan theta.

Yang berkuasa nombor:
1. Umur dan hutang kad kredit hanyalah nombor. Waarrrghhh.
2. Mempunyai komplikasi sindrom anak kedua (emotional & expresive & rebellious)
3. Cuba mengeksploitasi sindrom anak kedua.
4. Tak takut pada nombor 4.
5. 25? Banyak tu... Boleh melecet otak berfikir.

Yang Terlebih Kafein:
1. Obses kafein dan jus serotonin.
2. Puasa Coke dan minuman berkarbonat.
3. Perempuan androginus terlebih testosteron.
4. Emosi adalah energi!
5. Perkara-perkara di atas ditulis dalam nada fiksyen (baca: spara khayalan).

Rules: Once you’ve been tagged, you are supposed to write a note with 25 random things, facts, habits, or goals about you. At the end, choose 25 people to be tagged. You have to tag the person who tagged you. If I tagged you, it’s because I want to know more about you.

ps: Lu Hot? Sila buktikan...

Apr 9, 2010

Hiris Urat Tangan

GILA adalah salah satu kontribusi penting dalam dunia seni. Sedikit percikan GILA mampu melahirkan 'Mimi Kucing Pondan'. Manakala, percikan GILA yang besar membantu Henri Matisse menzahirkan figura bogel (kolaj) sambil duduk di atas kerusi rodanya.

Matisse The Master: A Life of Henri Matisse (The Conquest of Colour, 1909-1954) oleh Hilary Spurling.

Ini adalah buku kedua tentang Matisse (kali pertama dibeli pada 96/97) yang dibeli di Big Bad Wolves dengan harga RM10! Satu pelaburan murah yang berbaloi, terutamanya untuk mereka yang gemar mengintai dunia GILA orang lain. GILA ibarat satu dadah halal yang bebas, yang diperlukan oleh artis untuk berkarya. Ia juga seberat destructive stimuli yang lain seperti dadah, alkohol atau seks.


For him (Matisse) each painting was a rape. "Whose rape?" he asked... "A rape of myself, of a certain tenderness or weakening in face of a sympathetic object."

In his seventieth year, he still felt the urge to strangle someone before he could begin to paint, and likened the act itself to slitting an abscess with a penknife.


----------------------------------

Apr 2, 2010

Hanya. Untuk. Kamu.


Campur (Dua Lauk)
Aku campur kamu.
Bertemu.
Dalam sirah fiksyen ku.
Atas kanvas abstrak mu.

Taburkan beras kunyit atas pelamin.
Supaya malam ini.
Aku campur kamu.
Hanya satu.



Hidup bukan sekadar potong-dan-tampal lirik lagu M. Nasir. ~Taf Teh

[Nota:] Kek Metro Versi I & II adalah tulisan lama saya (mungkin 2007/8). Cerita ini ditulis dengan gangguan emosi, gangguan bahasa yang terlalu mengada-ngada, dan terlalu mencuba. Kesannya, saya sendiri tidak suka bagaimana plot dikembangkan dan bagaimana cerita ditamatkan. Secara ringkas, ia gagal menjadi 'queer', pemilihan ayat masih klise, tiada klimaks yang mampu meletupkan pekan koboi & iya.... agak memualkan!!! Di manakah silapnya???

------------------------------------------------
Kek Metro (Versi I)
Atan tinggalkan kau di dalam bilik tidur apartmen, dengan tuala selsemanya di sebelah katil. Rongga hidung bersenaman bersin tanpa henti. Kau bangun. Berdiri di tepi katil, memeriksa koordinasi bilik, dan mencium rasa kagum citarasa lelaki metroseksual. Kemudian, berjalan keluar.

Kau ke seksyen memasak untuk mencarigali paracetamol atau ubat selsema di perabot-perabot dapur. Cangkir-cangkir kaca kering, berbaris bersih di atas rak pinggan. Dua helai plastik tersimpul dalam ikatan tiga segi origami, terbiar di atas kabinet konkrit.

Dalam peti ais, tidak wujud langsung sesuatu yang organik. Hanya ada sekotak kek, masih terikat kemas dengan reben plastik sintetik. Argggh! Kata-kata klise dalam novel cinta dan drama korea meletus-letus secara otomatik, berlegar-legar dalam orbit otak dan kau tutup semula pintu peti.

* * *
Jongkong tubuh tidak mampu berhibernasi. Sekejap berkontur duduk, terlentang, mengiring. Atas sofa, tatami buluh, kerusi meja makan, atas meja makan.

Apa yang patut disembangkan bila Atan balik? Dailog! Kau perlukan beberapa baris dailog yang bersira bujuk perawan grasilis. Seayu gadis desa di pangkin bawah pokok rambutan, yang bermentera menyeru roh angin bertiup dari leluhur nenek moyangnya, pada petang hari yang terik, kau mahu menyeru roh dailog, menyimbah segenap zarah ruang tamu apartmen itu.

Dan dua jam kau menunggu.

Ke mana Atan pergi, kau tak tahu. Sepatutnya, kalau bukan membeli sarapan pagi, ke mana lagi? Tak mungkin Atan keluar bekerja. Kerana hari ini, hari Isnin, hari jadi Sultan Selangor.

Sumpahan bosan semakin membuntu. Membekukan sekali aura ruang tamu apartmen, sehingga dapat dirasa partikel oksigen mengdefisit. Lalu, tangan kau menjalar ke bawah kabinet tv. Menyelak, satu demi satu, tiada langsung gambar perempuan. Nil. Takkanlah!

Kau perempuan setia. Menunggu tanpa jemu, walaupun perut telah merintih lapar. Sebelum angin perut menderhaka dan bertukar menjadi huriken, tak salah rasanya kalau kau cicip kek. Sedikit... Cuma sedikit.

Pintu peti ais dibuka, kemudian kau paut erat kotak kek dengan kedua-dua tangan. Tahap konsentrasi berada di paras maksima seperti seorang setiausaha jelita yang sedang mencuri maklumat sulit untuk syarikat saingannya. Kotak kek yang masih tersimpul rapi, kau letakkan di atas meja makan. Empat dinding kotak terburai di atas meja. Mata kau terus bekerja, mencantum aksara-aksara ising berwarna pink, di wajah kek coklat satu kilo itu, ‘Untuk Azman tersayang.’

Siapa Azman?

Dan kau teringatkan sesuatu.

Dalam album bawah kabinet tv, kau lihat gambar kek yang sama. Dengan tulisan ising pink. ‘Untuk Azman tersayang’. Dan tiada langsung gambar perempuan. Zero. Nada. Aaarrrrrgghhh. Takkanlah!

------------------------------------------------
Kek Metro (Versi II)
Dia tinggalkan aku di dalam bilik tidur apartmen ini, dengan tuala selsemanya di sebelah katil. Apabila bangun, hidung aku bersin tanpa henti. Aku keluar, tinggalkan komforter, untuk cari paracetamol atau ubat selsema.

Di dapur, cawan dan gelas kaca bersih kering berdiri bersebelahan, seperti sedang bercinta. Di dalam peti ais, hanya ada dua tin air mirinda stroberi dan sekotak kek. Argggh! Kata-kata klise dalam novel cinta, secara otomatik, meletus keluar, berlegar-legar dalam orbit otak, tersusun cantik, umpama dialog cinta drama Korea.

Lelaki romantis dan sekotak kek.
Kucupan pagi. Pelukan manja.
Kejutan!

Sekejap duduk, terlentang, mengiring, di sofa, atas lantai, di kerusi meja makan, atas katil. Apa yang patut aku sembang bila dia balik? Dialog, dialog, dialog! Aku seperti perempuan suci desa yang menyeru angin datang pada petang hari yang terik. Cuma, ketika ini, aku mahu menyeru dialog drama chinta.

Dua jam menunggu. Ke mana dia pergi, itu aku tak tahu. Sepatutnya. Kalau bukan beli sarapan pagi. Ke mana lagi? Tak mungkin dia keluar bekerja. Kerana hari ini, hari Isnin, hari jadi Sultan.

Bosan. Buntu. Tangan aku menjalar ke bawah kabinet tv. Selak, satu demi satu, tiada langsung gambar perempuan.

Takkanlah!

Aku masih tunggu, sehingga pukul sepuluh. Sepatutnya. Dia dah balik. Perut aku pedih lapar. Angin keroncong dalam perut memulas-mulas, minta diisi. Aku kira, tak salah jika aku makan kek di dalam peti ais tu. Sekadar secubit. Mungkin dua.

Aku buka peti ais, ambil kotak kek, letakkan di atas meja makan. Ada tulisan ising, ‘Untuk Azman tersayang.’

Tetapi. Bukankah. Bukankah.
Aku ini bukan Azman.
Aaaaaaarrgh. Takkanlah!

Koleksi-koleksi gambar dalam album menjelma depan muka ku. Satu demi satu. Aku nampak gambar kek yang sama. Dengan tulisan ising. ‘Untuk Azman tersayang’. Dan tiada langsung gambar perempuan di dalam album.

Takkanlah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...