Mar 5, 2010

Poskod C(fz) 53000

Pagi ketiga. Di rumah kayu Pekan C(fz) 53000.

Di luar, angin bertiup perlahan seolah ibu para Dewi sedang meniupkan hembusan kasih sayang kepada seorang bayi yang baru lahir ke bumi. Saya sedang melukis harapan agar selalu ditemani cuaca sebegini, perasaan sebegini, sepanjang lawatan saya ke Pekan C(fz) 53000. Tetapi jika ditanya berapa lama saya akan di sini, saya mungkin perlukan lima minit sebelum memberi jawapan.

Di hadapan saya, di atas meja kecil, ia dipenuhi dengan barang-barang M(kus). Saya letakkan barang-barang saya sendiri seperti buku nota kecil, peralatan tulis, Possession oleh A. S. Byatt yang belum saya sentuh dan baca, dan juga Dada dan Didi yang dibeli semalam. Di setiap habitat, sementara atau kekal, saya senantiasa ditemani oleh pokok berdaun. Kali ini, Dada dan Didi akan menemani saya. Saya harap mereka berdua dapat hidup lama sedikit memandangkan saya tidak bawa pil kloforil ke Pekan C(fz) 53000.

Saya terfikir untuk mendominisasi setiap ruang atas meja M(kus). Untuk itu saya perlu membuang atau melatakkan kesemua barangnya di atas lantai supaya barang-barang saya dapat bermaharajalela di situ. Tetapi untuk masa ini, biarkan sahaja barang-barang kami berkongsi teritori. Eerrrrrrr, kenapa pula saya terasa feminis pada pagi ini?

Pintu bilik saya diketuk, M(kus) mungkin sudah bersiap ke tempat kerja, tetapi saya rasa sungguh malas untuk membuka pintu. Kepala ini masih selembap lumut di tepi longkang, saya tidak mungkin dapat memulakan bicara pagi yang menyegarkan. Lalu, saya biarkan bunyi ketukan itu bersendirian di luar pintu. Lagipun, saya belum basuh muka, gosok gigi dan sikat rambut. Keadaan pagi saya masih berserabai.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...